Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meluahkan hasrat untuk menyenaraikan atlet pecut muda negara, Russel Alexander Nasir Taib, dalam program Majlis Sukan Negara (MSN) selepas mencipta rekod baru kebangsaan dalam acara 200 meter.

Russel memperbaharui rekod kebangsaan acara 200m itu dengan catatan 20.77 saat dalam Kejohanan Trek Klasik Queensland, Australia, Sabtu lalu bagi memadamkan rekod terdahulu, 20.90s, yang dilakar raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan.

Hasil pencapaian membanggakan itu, ketua jurulatih skuad olahraga negara, Zainal Abbas, ingin meletakkan Russel di tahap sama dengan atlet olahraga yang lain berikutan dia hanya menerima elaun latihan dan duit belanja ketika ini.

"Russel telah berjaya melakukannya dengan catatan 20.77s.

"Dalam mesyuarat jawatankuasa kerja yang akan datang, kami akan mencadangkan nama Russel untuk diserapkan dalam program MSN supaya dia dapat menikmati insentif lebih besar atas kejayaannya," katanya.

Zainal berharap Russel mampu mengulangi kejayaannya, seterusnya menjadi pesaing hebat buat 14 pelari luar negara yang lain dalam saingan Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Malaysia di Bukit Jalil, Sabtu ini.

Sementara itu, Zainal menganggap kehadiran dan kejayaan yang dirakam Russel itu mampu mewujudkan persaingan sihat di antara anak jati Perak itu dan Khairul Hafiz dalam misi menempah slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Ia satu persaingan yang cukup sihat, termasuk Khairul Hafiz, untuk membuktikan kejayaannya pada 2016 dan 2017 boleh diulangi.

"Ini kerana selepas memecah rekod 100m, seterusnya 200m, prestasi Khairul Hafiz sedikit merudum dan dengan adanya persaingan daripada Russel, saya harap ia dapat memberikan saingan dan melonjak kembali prestasinya," katanya.