Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk S. M. Muthu, berhasrat menaikkan pangkat ketua jurulatih, Mohd Manshahar Abd Jalil, kepada pengarah teknikal walaupun badan induk itu sudah mempunyai pengendali dari Amerika Syarikat, Dwayne Miller, untuk tugas berkenaan.

Manshahar berjaya melaksanakan tugas mencapai sasaran lima pingat emas dalam Sukan SEA Filipina yang berakhir Rabu lalu.

Lebih penting, beliau dapat menjalankan kerjasama baik dengan semua jurulatih tempatan walaupun baru dilantik Julai lalu.

Justeru, KOM berpendapat pakar acara lompatan itu wajar diberikan tugas lebih penting walaupun Miller sudah memegang jawatan pengarah teknikal sejak Oktober lalu.

"Kami akan menentukan perkara ini dalam mesyuarat dan membincangkan untuk melanjutkan kontrak Miller atau sebaliknya. Kami juga mungkin memberikannya jawatan yang berbeza."

Sementara itu, KOM turut merancang menghantar raja pecut Asia Tenggara, Mohd Haiqal Hanafi, berlatih di luar negara.

Rundingan sedang dijalankan untuk memastikan pemenang emas 100 meter Sukan SEA itu mampu mencatat masa lebih baik musim depan.

"Boleh, tidak ada masalah. Berlatih di luar negara memberikan pengalaman yang lebih luas dan itu adalah tujuan utama menghantar atlet berlatih di sana."