Kurang lima bulan sebelum Sukan SEA Filipina bermula, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih berteka-teki dalam mencari pengganti ketua jurulatih yang sebelum ini disandang Zainal Abas.

Kekosongan jawatan itu perlu diisi segera susulan peletakan jawatan Zainal berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Namun, sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan badan itu.

Buat masa ini, Presiden KOM, Datuk S. M. Muthu, hanya mahu mengekalkan khidmat tenaga sedia ada menjelang temasya di Filipina, November depan.

"Belum lagi. Sekarang kami belum bersetuju. Kami ada mesyuarat jawatankuasa dan ia akan dibincangkan. Memandangkan Sukan SEA tidak lama lagi, kami akan teruskan dengan tenaga sedia ada," katanya.

Sementara itu, perjalanan skuad kebangsaan ke Napoli, Itali untuk bersaing dalam Sukan Universiti Dunia (Universiade) bertukar sia-sia apabila nama mereka tiada dalam senarai penyertaan.

"Kami belum ada sebarang laporan tetapi hanya mendengar perkhabaran itu melalui berita. Apabila menerima laporan itu, kami akan umumkan."