Pemerhati sukan negara, Datuk Sieh Kok Chi, menganggap kuasa Pesuruhjaya Sukan (PJS) bukan saja tidak akan terjejas dengan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Krisis Majlis Olimpik Malaysia (MOM), malah ia menawarkan lebih banyak pilihan kepada persatuan sukan kebangsaan dalam menyelesaikan konflik dalaman.

MOM sebagai badan induk kepada semua persatuan sukan kebangsaan negara ini berhak campur tangan, termasuk membabitkan konflik dalaman.

Ia selaras dengan Artikel 6.14, Perlembagaan MOM, yang menyatakan persatuan bermasalah boleh bertemu dengan pegawai MOM.

Jika tidak, pihak yang enggan berbuat demikian perlu menerima apa jua keputusan MOM dalam mencari jalan penyelesaian.

Namun, proses berkenaan perlu dibuat sebelum bertemu PJS.

"Yang pertama, Jawatankuasa Pengurusan Krisis MOM harus menyelesaikan hal dalaman sendiri terlebih dahulu.

"Yang kedua, Jawatankuasa Pengurusan Krisis boleh merujuk kepada MOM.

"Yang ketiganya, Jawatankuasa Pengurusan Krisis juga boleh meminta bantuan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang merupakan badan induk mereka," katanya.

Tambahnya: "Sudah pasti MOM dan persekutuan antarabangsa mempunyai proses yang berbeza tetapi pada masa sama, berdasarkan akta sukan, Jawatankuasa Pengurusan Krisis boleh merujuk kepada Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman)."

Ketika ini, antara yang mengalami kemelut dalaman ialah Persekutuan Karate-do Malaysia (MAKAF) dan Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM).

Kegagalan mencari jalan penyelesaian menyaksikan isu dalaman itu turut diheret ke mahkamah.

Dalam masa sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), masih belum melantik PJS yang baru selepas persaraan Datuk Zaiton Othman, bulan lalu.