Pemerhati sukan negara, Datuk Sieh Kok Chi, meminta Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) agar meminda perlembagaan tempoh perkhidmatan presiden selepas Datuk Seri Shahidan Kassim mengekalkan jawatan itu sejak 24 tahun lalu.

Shahidan antara presiden paling lama yang berkhidmat dengan persatuan sukan kebangsaan.

Pada suatu ketika, beliau pernah memegang empat jawatan presiden persatuan sukan yang berbeza sebelum menang tanpa bertanding dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) ASUM, semalam.

Ini bermakna Shahidan akan terus berkhidmat di ASUM hingga 2021, sekali gus melebarkan legasinya sejak 1995.

Namun, tindakan itu tidak selari dengan saranan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

"Apa lagi cadangan baru yang boleh beliau perkenalkan? Sudah lebih 20 tahun beliau memegang jawatan presiden.

"Beliau pernah memegang jawatan dalam beberapa persatuan yang lain tetapi saya tidak fikir persatuan itu menunjukkan sebarang kemajuan," kata Kok Chi.