Penerjun wanita negara, Pandelela Rinong, enggan terburu-buru merebut pingat emas, sebaliknya hanya mahu mendapatkan kembali momentum prestasi dalam Kejohanan Terjun Grand Prix Kuala Lumpur 2017 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, bermula Khamis hingga Sabtu ini.

Ia adalah kejohanan pertama yang bakal disertai barisan penerjun negara selepas Sukan SEA yang menyaksikan Malaysia menyapu bersih 13 pingat emas dalam sukan itu.

Pandelela, yang berjaya meraih dua pingat emas dalam temasya itu, berada dalam persiapan terbaik untuk memastikan aksinya terus konsisten tanpa memikirkan pingat dalam saingan GP itu.

Pesaing terdekat dari China juga tidak dianggap sebagai satu tekanan, sebaliknya hanya fokus untuk mencabar diri sendiri melakukan persembahan terbaik.

"Tak tahulah, saya tidak tengok sangat (persembahan peserta lain). Saya cuma fokus kepada diri sendiri sebab masa hari pertandingan pun, kita bertanding dengan diri sendiri sahaja," kata Pandelela.

Bebas daripada sebarang kecederaan, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu bakal beraksi dalam acara kegemarannya, 10m platform individu, dan 10m seirama berpasangan dengan Leong Mun Yee.

Sudah pasti, dia teruja untuk beraksi di Pusat Akuatik Nasional buat kali kedua selepas berpuas hati dengan kemudahan di sana ketika Sukan SEA.

"Saya sangat berpuas hati sebab gimnasium pun sudah buka, tahun lalu ia belum dibuka. Saya juga mendapat maklum balas yang positif daripada atlet-atlet negara luar.

"Mereka juga suka dengan platform yang baru ini. Ya, ia perkara bagus untuk Malaysia," katanya.