Atlet lompat kijang negara, R. Kirthana, akur keadaan matanya memungkinkan penyertaannya bersama skuad para.

Situasi itu tidak sesekali menghalangnya untuk meneruskan cita-cita dalam lapangan sukan yang diceburinya sejak lima tahun lalu.

Atlet itu lega selepas hasil pertemuan di antara jurulatihnya, Viktor Sotnikov, dan ketua jurulatih olahraga para, R. Jegananthan, membawa kata sepakat yang positif.

Malah, Sotnikov tiada halangan andai kudrat atlet kelahiran Perak itu lebih sesuai bersama skuad olahraga para.

Bagi Kirthana, selagi ia tidak menghalang pembabitannya dalam bidang sukan, dia tidak kekok untuk berada dalam kelompok atlet para pada masa akan datang.

"Saya tidak kisah beraksi dalam mana-mana kategori asalkan orang tidak ganggu sukan saya. Saya boleh terus bersukan," katanya.

Perkembangan positif itu ibarat motivasi terbaik untuk Kirthana segera mendapatkan khidmat pakar mata selain mencari penyelesaian terbaik dalam kerjayanya.

Bagi Jegananthan pula, jika pemeriksaan mata Kirthana mengesahkan status atlet itu untuk beraksi dalam sukan para, Kirthana dijangka menjadi prospek terbaik skuad para negara satu hari nanti.

"Kami tidak mahu ada masalah dengan mana-mana pihak. Dia (Kirthana) memang tidak nampak kalau tidak memakai lensa.

"Kami sebagai pasukan para, ia adalah kelebihan buat kami apabila dia menyertai kami," katanya.