Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Datuk V. Mahinda, menegaskan Kinrara Oval akan menjadi tumpuan sepanjang tahun ini apabila menganjurkan kejohanan kelayakan Piala Dunia T20 zon Asia, Julai depan, sekali gus tidak sepatutnya dirobohkan pihak pemaju.

Kinrara Oval sekali lagi mendapat pengiktirafan, dengan enam negara akan menyertai kejohanan kelayakan Piala Dunia T20 zon Asia di mana dua pasukan terbaik akan meneruskan kemaraan.

MCA juga sedang membida hak penganjuran satu lagi kejohanan kelayakan Oktober depan sekali gus meletakkan Kinrara Oval sebagai venue pilihan di rantau ini.

Perkembangan ini mengukuhkan alasan mengapa Kinrara Oval tidak wajar dirobohkan pihak pemaju.

"Kami perlu sentiasa menganjurkan kejohanan kriket di Kinrara Oval. Kami sedang berusaha bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bagi memastikan venue ini kekal," kata Mahinda.

Pihak pemaju menghantar notis kepada MCA untuk mengosongkan Kinrara Oval selewat-lewatnya 31 Oktober tahun lalu.

Sejak itu, MCA berusaha menyelamatkan venue seluas lima ekar itu, termasuk bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.