Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), V. Mahinda, kekal dengan nada positif dapat terus menggunakan gelanggang Kinrara Oval menjelang pertemuan tiga penjuru bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan hak milik tanah.

Kinrara Oval yang dibangunkan di atas tanah seluas lima hektar mahu dituntut semula oleh pemaju untuk membina projek perumahan serta pusat membeli-belah.

Masa kian suntuk buat MCA dalam menyelamatkan gelanggang berkenaan tetapi pertemuan tiga pihak membabitkan mereka, pemaju serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam tempoh terdekat diharap mampu cari jalan penyelesaian.

"Saya percaya mereka sedang bertungkus-lumus dan kami sedang menunggu untuk mengadakan satu lagi pertemuan.

"Saya masih yakin bahawa keputusan positif akan tercapai," kata Mahinda dalam majlis makan malam semalam bagi meraikan atlet pasukan wanita Pakistan dan Australia yang mengadakan siri perlawanan ujian di Kinrara Oval.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.

Menurut Steven, pihaknya masih lagi belum selesai membuat siasatan terhadap pemilikan tanah berkenaan.

Walaupun MCA diberi tempoh hingga penghujung Oktober ini untuk mengosongkan gelanggang berkenaan, Steven menjelaskan status quo Kinrara Oval akan kekal sehingga isu ini dapat diselesaikan.

"Kami masih menjalankan siasatan. Baik pihak pemaju mahupun MCA, mereka perlu bersabar.

"Semuanya perlu mengikut lunas undang-undang.

"Kami mahu KBS memohon status quo (terhadap Kinrara Oval) sehinggalah kita mendapat keputusan muktamad," kata Steven.