Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan Kabinet bersetuju memberikan kelulusan khas kepada Persatuan Kriket Malaysia (MCA) untuk meneruskan operasi di tapak asal pusat kriket nasional, Kinrara Oval.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata keputusan itu merupakan penyelesaian kepada kemelut melibatkan MCA dan pemilik tanah, Perumahan Kinrara Berhad (PKB) apabila tempoh pajakan bermula 1 November 2013 tamat pada 31 Oktober tahun lalu.

"KBS telah mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat, termasuk PKB. Lanjutan tempoh operasi akan dibincangkan melalui mesyuarat tiga hala di antara KBS, PKB dan MCA nanti dan satu penyelesaian bersama akan dipastikan agar dapat memberikan keputusan terbaik kepada semua pihak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Syed Saddiq, kelulusan khas itu diberi bagi memastikan pembangunan sukan kriket negara akan terus dibantu dan disokong demi kemajuan sukan negara.

Katanya, kerajaan komited terhadap pembangunan sukan kriket yang telah berkembang sejak sedekad lalu, termasuk kepentingan prasarana sukan seperti Kinrara Oval yang cukup signifikan dengan sukan kriket Malaysia.

Kinrara Oval mempunyai kemudahan lengkap seperti ibu pejabat, asrama pemain serta gelanggang latihan dan MCA sudah melabur jutaan ringgit dalam membangunkan infrastrukturnya bagi memastikan kualiti gelanggang mencapai standard antarabangsa.

Untuk rekod, Kinrara Oval pernah menjadi tuan rumah beberapa temasya dan kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Piala Dunia Bawah 19 tahun pada 2008 dan Sukan SEA 2017.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk V. Mahinda, menegaskan Kinrara Oval akan menjadi tumpuan sepanjang tahun ini apabila menganjurkan kejohanan kelayakan Piala Dunia T20 zon Asia, Julai depan.

Enam negara akan menyertai kejohanan kelayakan itu, dengan dua pasukan terbaik akan meneruskan kemaraan.

MCA juga sedang membida hak penganjuran satu lagi kejohanan kelayakan Oktober depan, sekali gus meletakkan Kinrara Oval sebagai venue pilihan di rantau ini.

"Kami perlu sentiasa menganjurkan kejohanan kriket di Kinrara Oval. Kami sedang berusaha bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq, bagi memastikan venue ini kekal," kata Mahinda.