Kimberly mahu perbaiki prestasi

Oleh Bernama 10 November 2018 252
Kimberly mahu perbaiki prestasi
Penerjun muda negara, Kimberly Bong, percaya masih banyak yang perlu diperbaiki, khususnya daripada segi teknik terjunan, walaupun meraih pingat perak acara 3 meter papan anjal wanita dalam Kejohanan Terjun Grand Prix Kuala Lumpur, hari ini. 

Atlet berusia 16 tahun dari Sarawak itu hanya ketinggalan 25.70 mata berbanding pemenang pingat emas, Ma Tong dari China, apabila merekodkan 262.25 mata daripada lima terjunan manakala pingat gangsa menjadi milik penerjun Australia, Kate Rosman, dengan 234.40 mata.

Pemenang pingat gangsa acara 10m platform wanita dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu berkata kejohanan kali ini merupakan prestasi terbaiknya musim ini, namun masih ada ruang untuk meningkatkan prestasi. 

"Terjunan untuk 3m papan anjal kali ini ada peningkatan, lebih bagus daripada aksi sebelum ini. Saya berpuas hati dengan pencapaian hari ini,” katanya kepada pemberita di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil. 

Selain pingat perak yang diraihnya hari ini, Kimberly turut meraih pingat gangsa acara 10m platform wanita, semalam. 

Kimberly yang dijadual bergandingan dengan Traisy Vivien Tukiet dalam acara 10m platform seirama wanita, bagaimanapun terpaksa menarik diri daripada bertanding ekoran kecederaan tangan yang dialami Traisy.

-- BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen