Datuk Chong Kim Fatt mengumumkan dua sasaran utama menjadi agenda utamanya selepas dipilih selaku presiden baru Persekutuan Wushu Malaysia (WFM).

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) WFM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini berjalan lancar walaupun pemilihan awal pada tiga minggu lalu gagal menemui presiden baru.

Ahli gabungan seluruh negara memilih Kim Fatt yang juga Presiden Persatuan Wushu Negeri Sembilan untuk menewaskan pencabar, Datuk Hng Ban Choong, 10-6 dalam undian, sekaligus menggantikan tempat presiden lalu, Allen Wong Siew Poh, yang mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan.

Antara perkara yang berada dalam pemerhatian Kim Fatt adalah memastikan wushu kembali berada dalam kalendar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

"Apa yang penting, kami mahu menjadikan Sukan Asia sebagai objektif utama. Ia menjadi langkah pertama dalam usaha membantu negara menambah kutipan pingat.

"Kemudian, kami mahu membawa wushu menyertai senarai bagi MSSM," kata Kim Fatt.