Atlet taekwondo poomsae negara, Sara Yap Khim Wen, lega apabila jurulatih dari Korea Selatan, Jin Jun-beom, kekal bersama pasukan bagi persiapan ke Kejohanan Taekwondo Poomsae Dunia di Taiwan bulan depan walaupun kontraknya telah tamat bulan lalu.

Jun-beom sebelum ini mengikat kontrak selama enam bulan bersama skuad negara bagi membantu atlet ke Sukan Asia Indonesia 2018.

Namun, sebagai persiapan ke Taiwan, Taekwondo Malaysia (TM) mengekalkan jurulatih itu sehingga penghujung tahun ini sebelum memohon kembali kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menyambung kontraknya bagi tahun 2019.

Khidmat Jun-beom sememangnya masih diperlukan apabila menjadi antara tulang belakang kepada kemenangan pingat gangsa Khim Wen dalam Sukan Asia bulan lalu.

"Jun-beom merupakan bekas atlet yang bersaing dalam poomsae dan beliau adalah seseorang yang sangat berpengalaman dalam menghadapi kejohanan bertaraf antarabangsa," kata Khim Wen.

Kejohanan Dunia yang ketiga buat Khim Wen diharap mampu menjadi penamat manis untuknya tahun ini dengan sasaran sekurang-kurangnya ranking lapan terbaik selepas mengharungi jadual padat bagi persediaan kejohanan itu.

"Kejohanan Dunia dianjurkan dalam tempoh dua tahun sekali, saingan ini lebih tinggi dan berharap untuk menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik."