Skuad angkat berat negara yang turut terkena tempias isu doping Sukan Malaysia (Sukma) Perak berdepan risiko kehilangan khidmat jurulatih, Wang Zhi Quan, apabila Australia menawarkan kontrak lumayan terhadap pengendali kelahiran China itu.

Australia terpikat dengan kejayaan Zhi Quan memacu atlet negara meraih dua pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.

Lebih menarik, kontrak pengendali berusia 53 tahun itu akan tamat pada 31 Disember depan dan Zhi Quan belum membuat sebarang keputusan terhadap tawaran lumayan Australia yang menawarkan gaji dua kali ganda daripada apa yang diterima ketika ini.

"Saya telah bersama Malaysia sejak 2001. Saya telah banyak melahirkan atlet-atlet yang berjaya di pentas antarabangsa dan gemar untuk terus berada di sini," katanya.

Zhi Quan mula membimbing atlet negara sejak 2001. Sepanjang 17 tahun mengendalikan skuad kebangsaan, beliau berjaya melahirkan jaguh handalan seperti Amirul Hamizan Ibrahim, Faizal Baharom, Mohd Hafifi Mansor, Azroy Hazal Wafie Ahmad Izhar dan Aznil Bidin.

Andai Zhi Quan meninggalkan Malaysia, ia akan jadi tamparan hebat dalam persiapan atlet kebangsaan memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya mengetahui Zhi Quan telah lama bersama skuad negara dan saya yakin beliau tidak akan menerima tawaran ke Australia," kata Azroy.