Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan khidmat jurulatih karate, Andris Vasiljevs, ditamatkan selepas atlet negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, gagal menyertai Kejohanan K1 di Jepun, minggu lalu ekoran masalah berat badan.

MSN terpaksa bertindak tegas selepas Vasiljevs gagal membantu Syakilla beraksi dalam kategori 55 kilogram di Tokyo.

Ia perjanjian di antara kedua-dua pihak yang berakhir dengan kegagalan dan khidmat Vasiljevs tidak lagi diperlukan dan terpaksa pulang ke Latvia.

"Khidmat Vasiljevs adalah bersifat jangka masa pendek dan dengan kegagalan melayakkan Syakilla ke saingan Kejohanan K1, kami mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak beliau," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Syakilla juga dinasihatkan menukar kategori selepas gagal beraksi dalam kumite 55kg sejak tahun lalu.

Malah, atlet bekas ranking pertama dunia itu berdepan tugas sukar untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Syakilla masih lagi tersenarai untuk menyertai Sukan SEA 2019 dan bakal mengambil bahagian dalam dua acara," tambahnya.