Presiden Persekutuan Petanque Malaysia (PPM), Datuk Radzi Mansor, berkemungkinan akan membawa masuk kepakaran jurulatih luar negara bagi membantu perkembangan atlet negara sambil Thailand dilihat menjadi pilihan utama.

Radzi baru memenangi jawatan presiden selepas menewaskan penyandang, Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim, dalam mesyuarat agung PPM, 11 Ogos lalu.

Perancangan sulung Radzi adalah untuk memperkasakan skuad negara dengan menambah anggota kejurulatihan yang dirasakan masih terlalu sedikit selain dibantu jurulatih berpengalaman dari luar negara.

Buat masa ini, skuad petanque negara hanya dikendalikan Zani Lisa Mohamed selaku ketua jurulatih selain dibantu Syed Ali Syed Akil.

"Kami mungkin akan menambah sebanyak empat hingga 10 jurulatih di peringkat kebangsaan. Kemudian, saya cuba untuk mendapatkan jurulatih luar negara.

"Setakat ini, Thailand adalah yang terdekat dan ia bergantung kepada perbincangan dengan pihak majlis tertinggi PPM," kata Radzi.

Selain itu, beliau yang mempunyai latar belakang dunia korporat mahu menarik lebih ramai penaja mendekati sukan itu.

Bagi Radzi, suntikan kewangan cukup penting jika mahu menaikkan imej petanque. Malah, beliau sendiri sudah merancang untuk menganjurkan kejohanan Piala Petanque Malaysia yang pertama, tidak lama lagi.

"Kami memerlukan dana, jadi ketika ini, tugas saya adalah mendapatkan sokongan daripada kelompok terdekat, pihak swasta dan kerajaan bagi meraih dana dalam usaha membawa atlet-atlet bertanding di luar negara," tambahnya.