Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, teruja apabila mengetahui namanya berada dalam senarai pendek skuad polo berpasukan negara untuk Sukan Sea 2017 yang diumumkan Presiden Kelab Polo Putra, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, semalam.

Menurutnya, beliau akan mencuba yang terbaik untuk disenaraikan tetapi paling penting, mahu berada dalam skuad polo negara secara merit.

"Keputusan pemilihan muktamad akan dilakukan pada awal tahun hadapan, mungkin pada Mac atau pun April. Saya berharap yang dipilih itu akan dapat menyumbang kepada prestasi yang terbaik bagi pasukan negara.

"Apa sahaja pemilihan mestilah berdasarkan kepada merit dan juga kebolehan," jelasnya.

Namun, sekiranya dipilih, Khairy berharap dapat mengambil inspirasi daripada atlet-atlet negara yang turut beraksi di Sukan Sea 2017.

Beliau tidak mahu penyertaannya nanti diberikan perhatian terlalu meluas kerana berpendapat semua atlet lain wajar diberikan perhatian sama rata.

"Saya berasakan atlet lain akan menjadi inspirasi kepada saya sekiranya saya dipilih. Masih lagi ada beberapa kejohanan sebelum pemilihan muktamad, Kejohanan Terbuka Malaysia bermula minggu ini dan ada latihan akhir di Argentina."

Pada edisi kesembilan Kejohanan Polo Terbuka Malaysia dari 10 hingga 23 Oktober ini, Norza mengesahkan tujuh pasukan akan mengambil bahagian.

Sukan SEA Kuala Lumpur akan berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos tahun depan.