Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akhirnya mengesahkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memenuhi syarat untuk merebut jawatan tertinggi badan itu dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan itu 29 Jun ini.

Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimudin, dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini mengesahkan borang pencalonan Khairy dan juga empat lagi calon yang dihantar tiga hari lalu sudah diteliti dan diperhalusi.

Selepas berpuas hati dengan calon-calon yang memenuhi syarat untuk bertanding dan disahkan Jawatankuasa Undang-Undang, Disiplin dan Etika MPM, lembaga pengarah persatuan tidak menolak semua calon yang mencabar jawatan tertinggi.

“Lima calon menghantar borang pada 15 Jun dan mereka adalah Siti Zaharah Abdul Khalid (Naib Presiden-Wanita), Dr. Naharuddin Hashim (Naib Presiden), Dr. S. Radha Krishnan (Timbalan Presiden) dan Ng Keng Chuan (Timbalan Presiden). Borang terakhir diterima pada pukul 9.38 malam.

“Lembaga Eksekutif sebulat suara memutuskan bahawa lima calon tersebut dibenarkan bertanding kerana mereka telah mematuhi peraturan dan telah memfailkan pencalonan masing-masing dalam tempoh masa ditetapkan,” kata SM Nasarudin.

Khairy bakal berdepan Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin yang juga Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) dalam pertembungan satu lawan satu tatkala kerusi nombor satu MPM bakal dikosongkan SM Nasarudin yang mengambl keputusan untuk berundur.

Bagi jawatan timbalan presiden, Dr. Radha Krishnan akan berdepan Ng Keng Chuan dan pemilihan akan dilangsungkan 29 Jun ini dengan tumpuan lebih terarah kepada Khairy dan Megat Shahriman.