Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menyokong penuh usaha Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membida Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia musim 2019/2020 sambil menyifatkan faktor kewangan tidak akan menjadi masalah.

Khairy mengesahkan pihaknya sudah pun memaklumkan hasrat Malaysia itu kepada Presiden Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), David Lappartient, dalam pertemuan di Velodrom Nasional, Nilai.

Sebelum ini, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab, serta jurulatih negara, Jonathan Beasley, melahirkan pandangan Malaysia patut menjadi salah satu destinasi Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia, namun faktor kewangan menjadi penghalang.

"Saya telah memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia sedia untuk membantu dan menyediakan bantuan kewangan kepada PKBM untuk membuat bidaan.

"Lappartient tampak positif tetapi proses itu perlu melalui prosedur rasmi yang ditetapkan untuk menjadi tuan rumah," kata Khairy.

Untuk kalendar musim 2018/2019, sebanyak enam negara sudah pun dipilih menjadi tuan rumah bagi siri Piala Dunia iaitu Perancis, Kanada, Jerman, England, New Zealand dan Hong Kong.

Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2018 yang sedang berlangsung juga dilihat sebagai satu medan buat Khairy untuk melihat sejauh mana kemampuan Malaysia menjadi tuan rumah bagi kejohanan antarabangsa yang lebih berprestij.

"Salah satu sebab mengapa Malaysia menjadi tuan rumah bagi ACC pada tahun ini adalah agar dapat melihat apa sahaja kekurangan sebelum membida untuk menganjurkan kejohanan di peringkat dunia," katanya.