Azroy Hazal Wafie akan turun beraksi sebagai wakil pertama negara bagi saingan Sukan Komanwel 2018 apabila acara angkat berat memulakan saingan pada Khamis ini.

Berdasarkan ranking, Azroy kini berada di kedudukan pertama dalam kategori bawah 56 kilogram di samping pernah meraih pingat emas ketika Kejohanan Negara-Negara Komanwel pada September tahun lalu.

Selain Azroy, turut mengibarkan cabaran negara dalam acara angkat berat adalah Aznil Bidin dalam kategori 62 kg.

Justeru, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yakin emas pertama Malaysia mampu hadir menerusi Azroy selepas sandaran utama, Mohd Hafifi Mansor, tidak dapat beraksi kerana masih dalam proses penggantungan gara-gara dipalit isu doping.

"Ya, dia sepatutnya menang emas. Kami memang menyasarkan emas daripadanya," kata Khairy.

Sementara itu, bekas atlet angkat berat kebangsaan, Amirul Hamizan Ibrahim, menyifatkan tuaian emas pertama sangat penting dan dia yakin Azroy mampu melakukannya serta memecahkan rekod di Gold Coast.

"Saya yakin Azroy mampu mencipta rekod baru Sukan Komanwel dan juga kebangsan selepas melihatnya mengharungi persiapan selama setahun.

"Untuk rekod saingan dia tidak akan berdepan masalah tetapi dalam sukan angkat berat, setiap atlet mempunyai strategi. Kami mungkin mahu menjarakkan mata berbanding pesaing terdekat," ujar Amirul.

Dalam Sukan Komanwel kali ini, Malaysia meletakkan sasaran tujuh pingat emas secara keseluruhan.