Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menganggap pencapaian Azizulhasni Awang dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) masih relevan untuk dia mempertahankan gelaran menerusi acara keirin dalam Kejohanan Dunia di Apeldoorn, Belanda dari 28 Februari hingga 4 Mac ini.

Khairy berkata sekalipun tiada emas dalam ACC buat Azizulhasni -- yang menang satu perak (pecut) dan satu gangsa (keirin) -- ia bukan gambaran jelas untuk menilai kemampuan sebenar pelumba itu bagi mengekalkan gelaran dalam Kejohanan Dunia.

Jelasnya, pelumba kelahiran Terengganu berkenaan masih berada di landasan terbaik biarpun meraih gangsa acara kegemarannya itu dan akan membuktikannya dalam Kejohanan Dunia yang merupakan saingan utamanya tahun ini selain Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Saya percaya dia berada dalam prestasi atau fizikal yang terbaik. Cuma, bagaimnana dia dapat membaca perlumbaan tersebut dan membuat pecutan akhir pada masa yang strategik," kata Khairy.

Dalam masa yang sama, Khairy turut memuji kemunculan seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom, yang mempamer prestasi cemerlang dalam ACC dan menganggap pelumba itu bakal menjadi pengganti Azizulhasni selepas ini.

Kedua-dua pelumba itu kini dalam persediaan menggalas cabaran negara dalam Kejohanan Dunia minggu depan.

"Saya nampak dia sudah boleh masuk ke pusingan akhir dan inilah peluang untuk Shah Firdaus meningkatkan prestasinya.

"Walaupun tidak mencapai podium, saya harap dia boleh menghampiri prestasi Azizulhasni," kata Khairy lagi.

Selain gangsa acara keirin, Azizulhasni turut menyumbang perak buat negara menerusi pecut manakala Fatehah Mustapa merangkul gangsa ujian masa 500m dan Jupha Somnet memperoleh emas perlumbaan mata.