Pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad, masih belum jelas dengan perancangan skuad memanah menjelang Kejohanan Dunia di Belanda, Jun depan, yang turut menjadi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Walaupun Kejohanan Dunia masih berbaki lebih kurang lapan bulan, Khairul enggan persiapan dilakukan pada saat-saat akhir tatkala dia sedar prestasi hambar yang ditampilkannya dalam Sukan Asia Indonesia sebelum ini.

Malah, Kejohanan Dunia cukup penting bagi memastikan dirinya layak ke Sukan Olimpik buat kali ketiga sejak edisi London 2012.

Pemanah berusia 27 tahun itu ingin lebih serius untuk memulakan tahun 2019 dengan prestasi terbaik dengan fokus bukan sahaja kepada Kejohanan Dunia tetapi juga Sukan SEA Filipina 2019.

"Kami perlu menyertai banyak kejohanan sama ada di luar atau dalam negara.

"Perkara itu penting supaya kami mendapat rentak dalam kejohanan," ujarnya.

Khairul kini hanya fokus kepada latihan sepenuh masa bagi menyesuaikan diri dengan kelengkapan memanah baru tatkala masih belum ada kata putus mengenai Kejohanan Asia Tenggara di Myanmar yang dijadual berlangsung bulan depan.

"Ketika ini kami masih dalam proses mencuba peralatan baru. Jadi, kami sedang mencari peralatan yang bersesuaian dengan kami," tambahnya.