Khairul Hafiz mahu berlatih di AS

Oleh Staff Writer 8 Disember 2018 491
Khairul Hafiz mahu berlatih di AS
Raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, menganggap latihan di Amerika Syarikat (AS) adalah yang terbaik buatnya andai Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mahu menghantarnya ke luar negara dalam misi mengekalkan status raja pecut Asia Tenggara.

Khairul Hafiz belum pernah berlatih di AS dan berharap impiannya itu dapat ditunaikan.

Sebelum ini, dia hanya menjalani latihan intensif selama dua bulan di Afrika Selatan, tahun lalu.

Ia sebagai persediaan bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dengan cabaran lebih sukar merebut gelaran raja pecut Sukan SEA Filipina tahun depan, Khairul Hafiz memerlukan perubahan latihan lebih agresif untuk terus memperbaiki catatan masa.

"Saya pasti cabaran lebih sukar akan dihadapi dalam Sukan SEA Filipina tahun depan.

"AS mempunyai ramai pelari pecut bertaraf dunia.

"Ia pasti menarik andai saya dapat mengadakan latihan di sana," katanya.

Ketika ini, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu bergelut dengan masalah berat badan dan disarankan untuk memiliki berat badan di antara 60 hingga 63 kilogram sahaja.

"Berat badan memainkan peranan penting dalam acara pecut.

"Saya perlu mengekalkan berat badan terbaik untuk menghasilkan larian bertenaga," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen