Melaka menjadi pilihan utama kapten skuad futsal kebangsaan, Khairul Effendy Bahrin, untuk beraksi dalam Kejohanan Kelab Futsal AFF 2018 di Jakarta, Julai depan.

Khairul atau lebih dikenali sebagai Ayon, sebelum ini dalam dilema untuk membuat pilihan sama ada beraksi bagi pasukan Melaka atau kelab dari Indonesia, SKN Kebumen.

Ayon muncul wira selepas berjaya membantu kelab itu muncul naib juara Liga Futsal Pro Indonesia PFL 2018, sekali gus menerima tawaran sekali lagi untuk terus beraksi bersama SKN Kebumen bagi saingan Kelab AFF pula Julai depan.

Memandangkan dia ingin meluangkan masa bersama keluarga untuk ketika ini, Ayon berasakan adalah lebih baik untuknya mengutamakan pasukan Melaka terlebih dahulu sebelum mengadakan perbincangan lanjut bersama SKN Kebumen di Yogjakarta, Sabtu depan.

"Boleh dikatakan 90 peratus keputusan saya menjurus untuk beraksi dalam Kelab AFF dan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) menjurus bersama Melaka atas sebab-sebab tertentu.

"SKN Kebumen ada menawarkan lanjutan kontrak selama setahun lagi tetapi saya berharap mereka dapat mempertimbangkan tawaran baru selepas saya menamatkan kempen LFK.

"Sememangnya gaji yang diterima di Indonesia lebih besar tetapi kali ini saya mahu bersama keluarga sempena Ramadan dan menyambut hari lebaran nanti," kata Khairul Effendy.

Melaka berada dalam Kumpulan B di samping kelab dari Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Sudah pasti, pengalaman yang ada bersama SKN Kebumen selama tujuh bulan mampu menjadi senjata berguna buat Ayon untuk membantu Melaka mengharungi saingan Kelab AFF.

"Saingan di Indonesia memang sengit setelah saya menimba pengalaman bersama SKN Kebumen selama tujuh bulan. Saya tahu kekuatan dan kelemahan mereka, pasti ia amat berguna apabila kami menghadapi mereka nanti," katanya.