Perbezaan ranking dunia tidak menjejaskan keyakinan pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad, untuk menumbangkan jaguh Amerika Syarikat, Brady Ellison, dalam final recurve individu lelaki Kejohanan Dunia 2019 di Belanda, esok.

Ellison, yang berada di ranking ketiga dunia, akan turun selaku pilihan untuk merebut gelaran juara.

Pemanah AS itu pernah menewaskan Khairul Anuar selain mengukuhkan kedudukan apabila lebih banyak menyertai kejohanan antarabangsa tahun ini.

Namun, ia tidak menjejaskan semangat jaguh Malaysia itu untuk mencipta sejarah sebagai pemanah pertama negara bergelar juara dunia.

"Saya akan terus berusaha menjelang aksi final. Kekuatan mental bergantung kepada diri sendiri apabila berdepan lawan di ranking utama dalam final kejohanan utama," katanya.

Dia juga pernah menewaskan Ellison dalam Siri Piala Dunia 2011 untuk menjadikan rekod pertemuan di antara kedua-duanya 1-1.

Bagaimanapun, pemanah berusia 27 tahun itu lebih bermotivasi kerana bukan sahaja sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, malah mendapat semangat daripada kejayaan pemanah para negara, S. Suresh, yang mencipta kejutan muncul juara para dunia, minggu lalu.

"Jika Suresh mampu melakukannya, tidak mustahil buat saya mengikut jejak langkahnya. Saya akan berusaha melakar kemenangan bagi mendapatkan pencapaian terbaik dalam skuad memanah negara," tambahnya.