Sejarah dicipta pemanah recurve negara, Khairul Anuar Mohamad, yang meraih pingat perak Kejohanan Memanah Dunia 2019 meletakkannya antara prospek penyumbang pingat Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun tumpuan lebih terarah kepada sukan seperti badminton, terjun dan berbasikal trek.

Tentangan sengit Khairul dalam final recurve individu lelaki di Hertogenbosch, Belanda semalam meningkatkan keyakinan bahawa dia mampu menjadi prospek penyumbang pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pemanah kelahiran Terengganu itu mencabar pemanah ranking ketiga dunia dari Amerika Syarikat, Brady Ellison, hingga mengheret perlawanan ke shoot-off sebelum tewas 5-6.

Ini merupakan pingat sulung dunia dalam sejarah memanah negara, sekali gus meletakkan Khairul Anuar selaku calon terbaik menyertai barisan elit Program Podium.

"Meraih pingat dalam Sukan Olimpik merupakan salah satu sasaran kami tetapi persembahan yang konsisten dalam kejohanan seterusnya adalah perkara yang lebih menjadi keutamaan kerana ia bukan satu usaha yang mudah untuk mengulangi persembahan terbaik," kata Khairul.

Senarai persediaan Sukan Olimpik Program Podium membabitkan atlet yang sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo dan mereka yang berpeluang menyumbang pingat.

Khairul Anuar adalah atlet ketiga layak ke temasya itu selepas pelayar, Khairulnizam Mohd Afendy dan Nor Syazrin Abd Latif.

Sementara itu, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membantu pemanah recurve acara berpasukan lelaki dan wanita layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Kami akan cuba membuat permohonan kepada MSN untuk membenarkan skuad memanah menyertai saingan antarabangsa sebagai langkah untuk layak ke Sukan Olimpik," kata Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abd Hamid Hassan.