Khabib Nurmagomedov dan Conor McGregor digantung sementara oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC) selepas insiden pergaduhan yang berlaku selepas pertarungan UFC 229.

NSAC akan mengadakan perbincangan sekali lagi pada 24 Oktober ini untuk membincangkan hukuman lanjut selain sama ada akan menahan wang hadiah yang dimenangi Khabib atau sebaliknya.

Wakil Russia itu yang tidak tewas dalam 27 perlawanan, menewaskan McGregor untuk mempertahankan gelaran lightweight di Las Vegas minggu lalu.

Khabib kemudian terlibat dengan pergaduhan dengan jurulatih jiu-jitsu McGregor, Dillon Danis.

Khabib melompat keluar gelanggang dan menerjah ke aras Danis sebelum melepaskan beberapa tumbukan.

McGregor turut berada dalam pemantauan NSAC kerana bertindak melepaskan tumbukan ke arah salah seorang rakan sepasukan Khabib ketika insiden pergaduhan itu berlaku.

Khabib mengeluarkan satu kenyataan kelmarin bahawa dia sedia meninggalkan UFC jika rakan sepasukannya, Zubaira Tukhugov, dihukum di atas insiden yang berlaku.