Percaturan taktikal yang ampuh mampu mengatasi masalah fizikal yang dihadapi skuad ragbi 15 sepasukan kebangsaan apabila bakal menentang negara kuasa besar bagi mencapai misi Piala Dunia 2031.

Misi Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) untuk layak ke Piala Dunia 2031 kelihatan realistik buat dua legenda Piala Dunia, Toutai Kefu dan Andrew Mehrtens.

Ia susulan badan Ragbi Asia sedang mengemukakan rayuan kepada Ragbi Dunia supaya kuota untuk pasukan Asia ditambah.

Bagaimanapun, Kefu menyatakan Malaysia harus mempunyai percaturan taktikal yang lebih ampuh untuk mengatasi kekurangan fizikal yang dihadapi skuad Bunga Raya.

"Saya tidak fikir ia satu masalah. Mungkin boleh atasi lawan menerusi percaturan taktikal," katanya.

Bagi bekas pemain New Zealand, Mehrtens, tempoh 11 tahun ke Piala Dunia itu memberi peluang bukan sahaja untuk terus mengasah bakat yang sedia ada, malah mencari bintang baru yang mampu mengatasi pemain senior.

"Saya fikir ia sesuatu yang bagus. Malaysia berpeluang untuk membangunkan sukan ini dalam tempoh 11 tahun. Namun, perlu atasi pasukan lain seperti Hong Kong dan Jepun terlebih dahulu untuk mencapai tahap terbaik," katanya.

Skuad negara bakal memulakan cabaran Mei depan dalam Kejohanan Ragbi Asia sekali gus berpeluang menebus maruah menentang Hong Kong susulan kekalahan 71-0, tahun lalu.