Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) peringkat kebangsaan 2018 akan disertai semua negeri dan diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI), Tanjong Malim dari 15 hingga 19 Julai ini.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusuf Husin, KESSUMA terbuka kepada semua pelajar sekolah agama penuh dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).

Katanya lagi, ia diadakan bertujuan memberi peluang kepada pelajar terbabit dalam aktiviti kokurikulum.

Terdapat 381 sekolah agama di seluruh negara dan seramai 2,000 pelajar akan berkampung di kampus Sultan Azlan Shah dalam kejohanan tahunan itu.

"Pelajar sekolah agama tidak berpeluang menyertai pertandingan MSSM kerana ia tidak berada di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Oleh itu, persetujuan telah dicapai bahawa pembabitan dalam sukan tahunan ini diambil kira untuk kiraan 10 peratus markah ko-kurikulum," ujar Mohd Yusuf.