Kes doping membabitkan penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee, masih berlanjutan apabila Persekutuan Renang Dunia (FINA) kini meminta proses pendengaran dilakukan di Switzerland dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, mengesahkan perkara itu apabila keputusan hukuman penggantungan terhadap Yan Yee masih belum diketahui sehingga kini.

Begitupun, disebabkan kos penerbangan yang terlalu mahal untuk ke Switzerland, atlet berusia 25 tahun itu meminta untuk melakukan sesi pendengaran terbabit melalui sidang video sahaja.

Mae percaya keputusan tempoh hukuman berkenaan akan diketahui sebaik sesi tersebut selesai, seterusnya atlet berkenaan dapat bersedia ke Sukan Asia Jakarta/Palembang, Ogos depan.

"FINA ada bertanyakan bolehkah Wendy datang ke Switzerland untuk sesi pendengaran, namun Wendy meminta sesi itu diadakan melalui sidang video sahaja berikutan kos penerbangan yang mahal.

"Buat masa ini, belum ada perkembangan lanjut bilakah sesi pendengaran itu akan diadakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mae menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan oleh ASUM mengenai perancangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mewujudkan lima persatuan mengikut pecahan acara, sebaliknya kekal sebagai sebuah badan induk yang mengendalikan kelima-lima acara sukan air, iaitu renang, renang terbuka, renang berirama, terjun dan polo air.

"Buat masa ini, ASUM kekal seperti sedia ada."