Timbalan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Michael Wong, mengesahkan tiada tindakan salah laku membabitkan mantan presiden badan induk itu, Datuk S. Subramaniam.

Siasatan selama sebulan mendapati segala transaksi membabitkan tiga keping cek berlainan tarikh dengan jumlah hampir RM15,000 adalah untuk kegunaan persatuan.

Namun, Michael tidak mahu isu itu berpanjangan lagi dan akan meneruskan proses transformasi MASCA dalam misi menjadikan kanu antara sukan terbaik di Malaysia.

"Beliau telah menjelaskan isu ini dengan terperinci. Selepas itu, kami melakukan siasatan dalaman bersama semua pihak berkaitan dan kami mendapati pengeluaran itu digunakan semuanya untuk persatuan. Cuma, daripada segi teknikal, ia dilakukan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM)," kata Michael.

Sementara itu, Subramaniam mengakui kesalahan tidak mengikut cara yang betul ketika mengeluarkan wang persatuan untuk kegunaan MASCA sebelum ini.

Bagaimanapun, mantan presiden itu optimis MASCA yang kini di bawah naungan Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin mampu meneruskan usaha mengangkat kanu di persada dunia.

"Perbelanjaan yang dilakukan, seperti yang dikatakan oleh Michael, adalah untuk pembayaran gaji setiausaha eksekutif yang tertunggak selama empat bulan serta perbelanjaan untuk menganjurkan AGM," ujar Subramaniam.

"Penyata untuk audit telah ditutup pada 30 September tahun lalu dan AGM diadakan pada 17 November, jadi tempoh sebulan setengah ini telah memerlukan perbelanjaan yang terpaksa dilakukan."