Pelari remaja, Muhammad Syazrul Adli Saiful Adli, dikenakan penggantungan empat tahun gara-gara positif bahan terlarang jenis steroid dengan Jawatankuasa Siasatan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) gagal mengesan sumber dan pembekal bahan itu.

Badan induk itu mengumumkan hukuman berkenaan selepas menjalankan tiga sesi siasatan sejak 26 Disember lalu.

Sampel A air kencing Syazrul Adli dikesan mengandungi steroid jenis methasterone dan oxymethalone, namun pelari berusia 19 tahun itu enggan melakukan ujian sampel B.

Penggantungan itu bermula pada 13 Disember lalu dan akan berakhir pada penghujung 2023.

Bagaimanapun, KOM gagal mengesan punca dan sumber bahan itu diperoleh atlet berkenaan.

"Dia juga tidak tahu bagaimana dia boleh mengambil bahan itu," kata Presiden KOM, Datuk S. M. Muthu.

"Dia mendapatkan bahan itu daripada rakan rapatnya sebagai makanan tambahan untuk menambahkan tenaga.

"Daripada itu, ia didapati mengandungi steroid yang tidak dibenarkan," katanya.

Syazrul Adli boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara dalam tempoh 30 hari.

KOM pula sedang merancang untuk mengadakan bengkel kesedaran antidoping Mac ini, yang akan melibatkan atlet kebangsaan dan sekolah sukan negeri dengan kerjasama Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS).

"Kami tidak tahu siapa yang betul-betul berikan makanan tambahan itu," kata Pengerusi Jawatankuasa Antidoping KOM, Datuk R. Anamalai.

"Ada pelbagai bentuk makanan tambahan seperti suntikan atau tablet.

"Jadi, dalam hal ini, kami tidak dapat apa-apa (bukti).

"Cuma, dia kata ada mengambil multivitamin dari Johor," katanya.




Editor: Muzaffar Musa