Kelewatan mendapat keputusan sampel 18 atlet angkat berat negara mengundang kebimbangan Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz, kerana ia sepatutnya diumumkan minggu lalu.

Seramai 18 atlet diuji selepas skuad angkat berat negara mencatat empat kes doping setakat tahun ini.

Semua sampel itu dihantar ke makmal ujian doping di New Delhi, India, bulan lalu.

Dr. Ramlan berkata pada kebiasaannya keputusan diperoleh dalam tempoh dua minggu dan dalam situasi ketika ini, ia sudah melebihi sebulan.

"Sehingga kini kami belum mendapat keputusannya lagi. Saya risau juga, kalau keputusan ini lambat, maknanya mungkin mereka perlu buat ujian ulangan untuk memastikan keputusan.

"Kalau negatif, tidak perlu buat ujian ulangan. Jadi, kita tunggu sahaja apa keputusannya. Kami sentiasa berhubung dengan pihak makmal. Insya-Allah kami akan tahu dalam sedikit masa lagi," katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bertindak menggantung skuad negara daripada menyertai kejohanan atau latihan luar negara untuk tempoh setahun bagi membersihkan skandal doping.

Namun, jika ada kes doping terbaru, PABM pula berdepan risiko penggantungan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).