Atlet muay Thai negara, Muhammad Rafi Abdul Manaf, yang gagal ujian doping tahun lalu dikenakan penggantungan dua tahun.

Dia berdepan penggantungan empat tahun tetapi rayuan yang dikemukakan Persekutuan Muaythai Malaysia (PMM) kepada Jawatankuasa Siasatan Persekutuan Muaythai Amatur Antarabangsa (IFMA) di Bangkok diterima.

Berdasarkan siasatan, Rafi dikesan mengambil pil perangsang seks yang mengandungi bahan terlarang jenis diuretics.

Atlet kelahiran Kelantan itu diuji sebulan sebelum menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur yang dijalankan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas).

PMM mengambil masa lebih enam bulan untuk menyelesaikan kes itu kerana tidak mempunyai pengalaman menanganinya.