Pelari pecut negara, Badrul Hisyam Abdul Manap, tidak tergugat dengan kedudukannya dalam kem kebangsaan apabila kini muncul lagi seorang pencabar baru dalam skuad negara, Muhammad Aqil Yasmin.

Selepas memecahkan rekod 100 meter milik Datuk Dr. M. Jegathesan, dalam Sukan Sekolah-Sekolah Asean di Brunei tiga tahun lalu tetapi tidak diiktiraf, Badrul tidak banyak mencipta impak kejayaan dengan skuad kebangsaan.

Hadir ke Nay Pyi Taw, Myanmar untuk saingan Sukan Universiti Asean (AUG) 2018, Badrul dibayangi kelibat raja pecut Sukma 2018, Muhammad Aqil.

Badrul hanya beraksi satu acara, iaitu 4x100m dan bersama tiga lagi anggota kuartet, mereka berjaya merangkul pingat perak.

Baginya, segala percaturan diuruskan oleh pihak pengurusan berdasarkan prestasi ketika Sukma 2018, September lalu.

"Acara dalam AUG mengikut prestasi semasa. Pemilihan dibuat selepas Sukma dan semua orang tahu saya tidak dapat berlari bagi acara 200m ketika itu kerana masalah dengan pengurus.

"Namun, itu tidak jadi masalah dan saya akan cuba muncul semula bagi acara 100m dan 200m tahun depan," kata Badrul.

Sementara itu, Muhammad Aqil menganggap tuah budak baru menyebelahinya apabila merangkul emas dalam acara tumpuan, 100m, dalam penampilan pertamanya di pentas AUG.

Dia yang kini masih setia berlatih di bawah kendalian Majlis Sukan Negeri Selangor bersama jurulatih, Simon Lau, mahu cuba merebut tempat dalam kem kebangsaan pula memandangkan Sukan SEA Filipina akan berlangsung tahun depan.

"Apabila tamat AUG, saya akan fokus kepada latihan untuk persiapan tahun depan, iaitu Sukan SEA. Saya dan jurulatih akan melakukan persiapan bagi program baru. Saya akan lakukan yang lebih baik," ujarnya.