Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" terhadap kemelut yang melanda Filipina selaku tuan rumah Sukan SEA 2019.

Beberapa laporan media serantau menyifatkan kedudukan Filipina sebagai penganjur edisi ke-30 itu kini dalam bahaya.

Ia susulan pemotongan bajet yang membangkitkan rasa kurang senang di kalangan pegawai negara penganjur itu.

Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC), bagaimanapun, memberi jaminan temasya itu akan tetap berlangsung seperti dijadualkan dari 30 November hingga 11 Disember depan.

MOM menerusi presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria, akan terlebih dahulu menantikan maklum balas daripada Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC) dan Persekutuan Sukan SEA (SGF) sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Saya sudah mengarahkan Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib, untuk berhubung dengan wakil POC.

"Apa yang kami ketahui setakat ini, kesemuanya berdasarkan laporan media, namun kami belum menerima apa-apa pengesahan rasmi mengenai isu-isu penganjuran daripada Filipina.

"Mereka masih belum memanggil untuk mengadakan mesyuarat SGF, jadi kami menjangkakan Sukan SEA di Manila akan tetap diteruskan," katanya.