Dua atlet memanah negara dari Sabah, Charlie Jikuis dan Ramdi Rahimin, bertekad melakukan yang lebih baik dalam kejohanan akan datang selepas kedua-dua mereka gagal menyerlah dalam Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 di Hertogenbosch, Belanda, semalam.

Charlie dan Ramdi juga bertekad untuk mengikut jejak S. Suresh yang bukan saja mengungguli acara recurve lelaki terbuka, malah turut mengesahkan tempat ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Saya akan berlatih lebih kuat, ini adalah penyertaan pertama saya dalam kejohanan besar dan saya akan terus bersungguh-sungguh, seterusnya mencapai kejayaan sepertinya (Suresh)," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Ramdi yang tampil dalam Kejohanan Dunia buat kali kedua berkata dia menimba banyak pengalaman sepanjang kejohanan itu dan ia akan menjadi bekalan kepadanya untuk mencatat kedudukan yang lebih baik dalam kejohanan akan datang.

"Banyak yang saya belajar di sini dan kejayaan rakan kami, Suresh, juga memberi inspirasi kepada saya.

"Selepas ini, saya perlu lebih fokus jika mahu mengikut jejaknya," katanya.

Charles dan Ramdi adalah antara lapan atlet yang membawa cabaran negara dalam kejohanan itu.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka tersingkir lebih awal dengan Charlie hanya menduduki kedudukan ke-37 acara recurve manakala Ramdi sekadar di tempat ke-44 acara compound.

Sementara itu, jurulatih memanah para Sabah, Paul Leong, berkata atlet memanah para negeri itu akan berehat singkat sebelum menyambung latihan penuh bagi menghadapi kejohanan akan datang.

"Kejohanan seterusnya ialah dalam sirkit kebangsaan kedua dan saya berharap sekurang-kurangnya dua lagi atlet dari Sabah akan terpilih untuk mewakili negara," katanya yang juga antara jurulatih yang bertugas di Belanda itu.