Kekalahan yang dialami di Incheon, Korea Selatan, tidak menggambarkan keupayaan sebenar skuad ragbi negara dengan ketua jurulatih, Bradley Mika, yakin pasukan Bunga Raya itu mampu memberi kejutan dalam aksi timbal balik nanti.

Terdahulu, skuad negara tewas di tangan Korea Selatan 14-52 dalam aksi pertama mereka dengan perlawanan kali ini tampak lebih sengit berbanding tahun lalu sewaktu Malaysia tunduk 12-67.

Di awal perlawanan, Malaysia memberi kejutan dengan mendahului, namun Korea Selatan mengambil kesempatan ke atas kesilapan skuad negara dan terus mendominasi sehingga wisel penamat.

“Apa yang dapat kami lihat, kami bermain dengan baik. Dalam babak pertama, segalanya mengikut perancangan tetapi lawan lebih bijak menggunakan peluang yang ada dalam babak kedua,” kata Mika.

Kini, Mika percaya dengan penambahbaikan yang bakal dilakukan dalam tempoh seminggu sebelum aksi timbal balik 25 Mei ini yang diharapkan mampu mengubah nasib skuad Bunga Raya.

“Seperti apa yang saya katakan sebelum ini, jika kami kekal mengikut perancangan dan lebih konsisten, keputusan lebih baik mampu diraih.”