Fokus pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow, kini terarah kepada usaha untuk menjuarai kejuaraan tempatan bagi meneruskan aksi cemerlang susulan kejayaan mengalahkan pemain ranking ke-23 dunia dari Hong Kong, Max Lee, di pentas Kejohanan Individu Asia bulan lalu.

Memasuki pertengahan tahun 2019, pemain berusia 21 tahun itu berjaya menunjukkan peningkatan selepas menundukkan Max, namun aksinya masih tidak konsisten apabila tewas dalam pusingan pertama Terbuka British hujung bulan lalu.

Kini, dia menyasarkan gelaran pertama di pentas tempatan, bermula dengan Kejohanan Skuasy Kebangsaan yang bakal berlangsung di Bukit Jalil, 16 hingga 21 Julai depan.

"Kami berdepan Kejohanan Kebangsaan pada pertengahan Julai. Saya tidak pernah menjuarainya, jadi saya mahu tampil dengan aksi terbaik tahun ini. Saya tahu kekuatan pemain dalam negara dan ia akan jadi sukar tetapi saya akan berusaha serta perlu berasa yakin," katanya.

Keyakinan Eain Yow untuk meraih gelaran pertama tempatan kian bertambah apabila melalui persiapan lengkap, khususnya daripada aspek stamina.

"Memandangkan kami berehat dalam tempoh lama, latihan sejak beberapa minggu lalu agak mencabar. Kami banyak melakukan latihan kecergasan," tambahnya.

Dia yang kini berada di ranking ke-37 dunia meraih 73 kemenangan dan 56 kekalahan sepanjang karier profesionalnya.