Skuad silat negara menampilkan aksi cemerlang apabila menambah dua lagi pingat emas pada hari terakhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-18 di Arena OCBC, Singapura, hari ini.

Tambahan dua emas itu menyaksikan Malaysia mengumpul keseluruhan tiga emas setelah gandingan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga meraih pingat emas dalam acara silat seni regu putra pada hari pertama pertandingan, Khamis lalu.

Dalam aksi hari ini, juara dunia, Siti Rahmah Mohamed Nasir, menepati ramalan apabila mengekalkan pingat emas dalam kelas Puteri E (51-54 kg) selepas mengalahkan Rizka Andini dari Indonesia 5-0, demikian menurut laman sesawang kejohanan; www.wpsc2018.com.

Pingat emas tersebut adalah yang keempat untuk anak jati Terengganu itu yang pernah meraih pingat emas pada tiga edisi terdahulu -- 2012, 2015 dan 2016.

Terdahulu, Mohamad Hazmi Amzad mencipta kejutan selepas memenangi pingat emas kelas Putera C (45-48kg) dengan mengalahkan pesilat Thailand, Adilan Chemaeng, 4-1 dalam aksi pertarungan akhir.

Dalam pada itu, hasrat seorang lagi wakil negara, Nor Farah Mazlan, untuk meraih pingat emas tidak kesampaian setelah tewas 2-3 kepada pesilat Indonesia, Suci Wulandari, dalam aksi final kelas Puteri A (39-42kg).

-- BERNAMA