Cabaran dalam Kejohanan Boling Wanita Dunia yang terlalu sengit mengakibatkan pasukan negara gagal untuk menempatkan diri di peringkat separuh akhir acara beregu.

Sin Li Jane, yang meraih pingat perak dalam edisi terdahulu bersama pemain veteran, Shalin Zulkifli, bergandingan dengan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, namun berkesudahan di tempat kelapan keseluruhan.

Kedua-duanya yang mengumpul 2,634 jatuhan pin, adalah antara 90 pasangan yang menyertai acara beregu di South Point Bowling Plaza, Las Vegas itu hari ini.

Satu lagi gandingan negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi-Natasha Roslan, sekadar berada di tangga ke-19 dengan mengumpul 2,504 jatuhan pin manakala Nerosha Keligit-Esther Cheah pula di tempat ke-26 dengan 2,480 jatuhan pin.

Gandingan Colombia, Rocio Restreno-Maria Rodriquez, menduduki tempat teratas dengan 2,758 jatuhan pin, diikuti beregu Korea Selatan, Son Hyerin-Lee Yeonji (2,729), manakala pasangan Juliana Franco-Clara Guerrero (2,727) dari Colombia dan Josefin Hermansson-Jenny Wegner dari Sweden (2,706) melengkapkan empat tempat dalam separuh akhir.

Pengurus pasukan, Maradona Chok, berkata meskipun gagal menaiki podium, pemain negara semakin selesa dan mempamerkan peningkatan -- selepas tiada seorang pun daripada mereka yang berkesudahan dalam kelompok 30 peserta terbaik dalam acara perseorangan, kelmarin.

"Dua ‘split’ awal dalam game terakhir menjejaskan rentak beregu kami dan mereka gagal mengembalikan rentak berikutan Colombia dan Sweden berada dalam prestasi terbaik.

"Di sebalik kegagalan hari ini, pasukan ini akan bangkit semula dalam acara trio esok dan kami akan teruskan perjuangan.

“Kami perlu melakukan lebih banyak balingan yang baik. Kami hanya perlu melakukan lebih banyak ‘strike’ daripada pemain lain. Seperti yang disebut sebelum ini, saingan di sini amat sengit dan banyak pasukan yang mempunyai peluang sama,” katanya.

Li Jane, Esther dan Siti Safiyah akan membentuk skuad trio pertama manakala Nerosha, Natasha dan Syaidatul Afifah pula akan mewakili satu lagi skuad trio.

-- BERNAMA