Juara dunia lapan kali, Nicol David, mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Dunia 2017 selepas bekerja keras menundukkan pencabar Asia dari Hong Kong, Annie Au, 3-1 di Manchester, awal pagi tadi.

Nicol memburu kejuaraan kesembilannya dengan mempamerkan kecekapan setelah dikejutkan Annie buat kali pertama dalam Terbuka Amerika Syarikat, dua bulan lalu.

Pukulan drive tepat membawa Nicol untuk mendahului 2-0 sebelum Annie menggunakan senjata penting, iaitu lambungan dan pukulan drop, untuk memerangkap Nicol dalam set ketiga.

Dalam set seterusnya, Nicol kembali agresif dan menewaskan Annie dalam tempoh 33 minit.

Dalam suku akhir pada Sabtu ini, Nicol akan berdepan rintangan naib juara dua kali, Raneem El Welily dari Mesir.