Malaysia menempah tempat dalam suku akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2018 selepas menumpaskan Hong Kong 3-0 dalam perlawanan Kumpulan D yang berlangsung di Dalian, China, hari ini.

Kemenangan kedua berturut-turut diraih skuad kebangsaan itu menyaksikan mereka mengungguli Kumpulan D dengan enam mata, selepas kejayaan mengalahkan Afrika Selatan 3-0 dalam perlawanan pembukaan, semalam.

Dalam perlawnanan hari ini, juara perseorangan Sukan Asia 2018, Datuk Nicol David, diberi tentangan amat sengit sebelum berjaya menundukkan Annie Au Wing Chi 6-11, 6-11, 11-6, 11-4, 11-6 dalam perlawanan pertama, menurut laman web kejohanan www.wsfwomensteams.com.

Juara kebangsaan, S. Sivasangari, menyumbangkan mata kedua buat Malaysia selepas menjinakkan Joey Chan Ho Ling; 15-13, 7-11, 11-8, 11-9 sebelum bekas pemain nombor lima dunia, Low Wee Wern, menamatkan saingan dengan menumpaskan Lee Ka Yi 6-11, 12-10, 11-8, 11-9 dalam perlawanan terakhir.

Malaysia akan mengakhiri pusingan awal dengan bertemu Switzerland, esok.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas dalam setiap daripada empat kumpulan akan tersenarai dalam lapan pasukan teratas.

Sebanyak 16 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan dwitahunan itu.

-- BERNAMA