Hari gemilang buat pesilat-pesilat negara apabila memperagakan aksi mantap untuk menempah slot ke perlawanan akhir Kejohanan Silat Asia Tenggara Kali Ke-7 yang berlangsung di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, Batu Caves, Selangor.

Memasuki peringkat separuh akhir acara silat olahraga, beberapa wakil negara kental mengibarkan cabaran dalam kategori masing-masing.

Antara yang mencuri tumpuan adalah pertembungan pesilat wanita negara, Siti Zubaidah Che Omar, yang juga merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2013, ketika bertemu pesilat Thailand, Rawadee Samsari.

Siti Zubaidah bijak menggunakan pengalamannya untuk memanipulasi asakan lawan untuk melakar kemenangan 3-2 dan seterusnya mara ke peringkat akhir.

"Apa pun, saya bersyukur kerana menang walaupun dengan keputusan tipis.

"Alhamdulillah saya tidak mengecewakan jurulatih dan sahabat-sahabat saya yang lain," katanya.

Terdahulu, pesilat muda negara yang beraksi dalam kategori A bawah 60 kilogram (kg), Mastafa Fitri Masjuri, cemerlang menewaskan pesaing dari Singapura, Hamillahtu Arash Juffrie, 5-0.

Melengkapkan hari gemilang buat kem silat negara adalah Mohd Fauzi Khalid yang beraksi dalam kategori F bawah 75kg, apabila unggul untuk menjinakkan lawan dari Filipina, Ramond Bueno, 5-0.

"Prestasi pada hari ini lebih bagus berbanding semalam.

"Semalam, persembahan saya 'hancur' kerana mengalami kecederaan.

"Oleh kerana sudah pulih hari ini, saya dapat bertarung untuk layak ke peringkat akhir," ujarnya.