Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mahu barisan pemain negara membangkitkan keterujaan peminat sukan tanah air dengan memburu gelaran juara remaja dunia di laman sendiri selepas kali terakhir menjadi tuan rumah 18 tahun lalu.

Pulau Pinang menjadi penganjur Kejohanan Skuasy Remaja Dunia pada 2001 yang ketika itu menyaksikan Datuk Nicol David mengukuhkan kedudukan sebagai ikon dalam pembikinan.

Bagaimanapun, sejak kejayaan Nicol itu, tiada seorang pemain yang berupaya menempatkan diri ke pentas final.

Cabaran saingan individu terus menjadi sukar buat pilihan utama negara seperti Aifa Azman dan Chan Yiwen.

Atas dasar itu, SRAM meletakkan sasaran untuk mereka mencabar Mesir bagi mahkota acara berpasukan.

"Prestasi skuad ini amat baik dalam kejohanan kebangsaan baru-baru ini. Jadi, dengan mendapat sokongan peminat sendiri, ia satu kelebihan besar.

"Kita juga di tempat kedua di New Zealand, jadi mereka sepatutnya akan ke final, itu yang kita harapkan dan dalam acara individu.

"Mereka mempunyai keupayaan untuk sampai ke final dan kita harapkan mereka akan lakukan yang terbaik dalam kejohanan itu," kata Presiden SRAM, Nik Razeen Daud.

SRAM, bagaimanapun, enggan sasaran itu menjadi beban buat pemain lelaki dan wanita yang akan mewakili Malaysia, sebaliknya menjadikan kejohanan itu pentas membuktikan mereka mempamerkan kewibawaan tersendiri untuk meneruskan legasi Nicol.

"Bagi saingan individu, kami memiliki barisan pemain yang berkemampuan melangkah ke final. Segalanya terserah kepada mereka ketika beraksi dan saya mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk hadir memberikan sokongan," katanya.

Sementara itu, Aifa diklasifikasikan sebagai harapan terbaik negara dalam saingan individu bagi edisi kali ini.

Sebagai pilihan ketiga-keempat, Aifa mendapat laluan percuma dalam pusingan pertama dan memiliki laluan cerah ke suku akhir.

Atas dasar itu, dia menyedari ia satu kerugian seandainya dia mempersiakan undian baik ini.

"Undian sangat baik untuk kejohanan ini. Saya akan menggunakan undian baik ini untuk melangkah ke final.

"Saya berasakan kami tidak memiliki tekanan bagi saingan berpasukan dan kata-kata SRAM adalah bertujuan untuk meningkatkan motivasi kami," katanya.

Bagaimanapun, Aifa ketika ini sedang bergelut dengan prestasi semasa susulan kegagalannya mengatasi rakan sepasukan, Yiwen, dalam final individu remaja Asia Jun lalu dan tersingkir dalam suku akhir Kejohanan Kebangsaan.

"Saya perlu kekal yakin selepas gagal beraksi cemerlang sebelum ini. Saya telah kembali menjalani latihan bagi meningkatkan semula mutu permainan menjelang saingan kali ini," ujarnya.