Kejohanan Remaja Dunia: Pelumba negara beraksi hambar

Oleh Bernama 15 Ogos 2019 858
Kejohanan Remaja Dunia: Pelumba negara beraksi hambar
Skuad basikal trek remaja negara mempamerkan aksi hambar dalam aksi pembukaan Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Dunia UCI di Oderlandhalle, Frankfurt, hari ini.

Trio negara, Mohammad Fariz Haikal Mohd Kadir, Muhammad Ridwan Sahrom dan Ahmad Safwan Ahmad Nazeri, meraih kedudukan ke-10 daripada 16 pasukan dengan catatan 46.724 saat dalam pusingan kelayakan acara pecut berpasukan lelaki.

India melakukan kejutan terbesar selepas memenangi pingat emas dengan catatan 44.625 saat, diikuti Australia, yang meraih perak (44.681s), manakala gangsa dirangkul Great Britain (45.009s) menurut laman web rasmi kejohanan;https://jwm-frankfurt.de.

Sementara itu, kuartet negara yang terdiri daripada Muhammad Amir Farhan Haizeman, Muhammad Ibni Hissham Abd Rauf, Mohammad Justin Felix Nagel dan Abdul Azim Aliyas, gagal melayakkan diri ke pusingan pertama acara kejar-mengejar berpasukan lelaki selepas menamatkan saingan di tempat ke-17 daripada 18 pasukan dengan catatan 4 minit 26.196 saat dalam pusingan kelayakan.

Terdahulu, Perancis mencipta rekod baru dunia dalam acara tiga perlumbaan dengan mencatat 4 minit 00.384 saat ketika menentang Rusia, yang mencatat masa 4:02:543s.

Russia merupakan pemegang rekod dalam edisi 2017 dengan catatan 4:00.972s.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen