Bintang golf remaja dalam pembikinan negara, Ezekiel Suzearitz, berpeluang untuk mengikut jejak langkah legenda terkemuka dunia, Tiger Woods, jika aspirasi ke Kejohanan Remaja Dunia menjadi kenyataan.

Nama Ezekiel dalam sirkit kebangsaan tidak lagi asing sejak kali pertama menghayun kayu golf pada usia tiga tahun dan ketika berumur 10 tahun, dia sudah pun mendominasi setiap kategori dalam saingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) sejak saingan bawah tujuh tahun.

Ezekiel sudah pun layak secara merit ke Kejohanan Remaja Dunia bagi dua edisi terdahulu tetapi terpaksa melupakan penyertaan atas faktor kewangan.

Nadi Arena berkesempatan untuk berbicara dengan Ezekiel dan bapanya, Suzearitz Suhimi, atas dorongan mereka untuk menjulang takhta golf Malaysia di pentas antarabangsa.

"Sedikit susah untuk mendapat tajaan dan jurulatih. Lebih-lebih lagi apabila berdepan lawan lebih dewasa. Lebih puas kalau dapat kerana ramai wakil Malaysia bergelar juara dan berada dalam kelompok 10 terbaik dunia," kata Ezekiel.

"Sasaran kami adalah berada dalam kelompok 10 terbaik tetapi kami tidak mahu masuk kejohanan jika tiada peluang untuk menang. Jika berdepan sama umur, apa yang penting adalah peluang untuk menang," tambah Suzearitz.