Selepas hampir setahun meninggalkan kem kebangsaan, pemain ragbi 15's negara, Marc Lee, melakukan pusingan "U" untuk kembali membantu Malaysia bagi menghadapi Kejohanan Ragbi Asia, bermula 18 Mei ini.

Marc mencetuskan kontroversi apabila secara tiba-tiba meninggalkan kem negara ekoran perselisihan faham dengan bekas jurulatih, Lee Nyuk Fah.

Skuad ragbi Malaysia kini dibimbing Bradley Mika, yang juga bekas pemain kebangsaan New Zealand (All Blacks).

Marc mendedahkan ia menjadi faktor utama yang melembutkan hatinya untuk kembali menyertai skuad kebangsaan.

"Sudah pasti, Brad merupakan pengaruh terbesar untuk saya kembali dalam pasukan ini.

"Dia memiliki visi dan perancangan yang besar untuk menghadapi Kejohanan Ragbi Asia musim ini," katanya.

Turut melaporkan diri dalam skuad kebangsaan adalah pemain yang baru menandatangani kontrak tiga tahun dengan kelab Jepun, Hino Red Dolphins, K. Dineshwaran.

"Ia cabaran baru buat saya memandangkan mereka mengharapkan sesuatu yang besar daripada saya.

"Bagi saya, cabaran itu memberikan tekanan yang lebih besar untuk saya terus berkembang dalam sukan ragbi," katanya.

Malaysia akan mengharungi tiga perlawanan persahabatan bermula dengan Singapura (Sabtu ini), disusuli dua aksi berdepan Sri Lanka pada 2 dan 4 Mei ini sebagai persiapan menjelang saingan Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia.