Pemain ping pong negara, Ashraf Haikal Rizal, melaungkan keyakinan untuk melepasi sasaran yang diletakkan barisan kejurulatihan negara, iaitu melayakkan diri ke pusingan utama Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary, bermula Ahad ini.

Ashraf berpendapat dia dan rakan sepasukannya sudah bersedia secara mental dan fizikal untuk mencapai sasaran yang ditetapkan itu walaupun menyedari kesukaran yang akan dihadapi.

"Persiapan kami berjalan baik dan kami sudah bersedia secara fizikal dan mental untuk menghadapi Kejohanan Dunia.

"Tentang sasaran pula, kami akan mencuba sedaya-upaya untuk layak ke pusingan utama walaupun ia sukar kerana kami perlu menghadapi banyak perlawanan," katanya.