Tiga hari latihan di venue kejohanan harus dimanfaatkan oleh 12 pemain golf profesional negara dalam misi merampas gelaran Kejohanan Persatuan Pemain Golf Profesional Malaysia (PGM)-Jelajah Golf Indonesia (IGT) di Kelab Golf Tiara, Melaka, bulan depan.

Pasukan PGM menutup Kejohanan PGM-IGT edisi pertama pada 2016 dengan gemilang selepas mengungguli kategori individu dan berkumpulan.

Namun, kesilapan skuad negara yang memandang rendah kemampuan lawan memakan diri apabila pasukan IGT kembali menguasai kejohanan itu tahun lalu.

Justeru, tiga hari latihan dari 17 hingga 19 Julai ini adalah masa yang tepat untuk membiasakan diri di venue kejohanan di Kelab Golf Tiara selain menjadi tugas kapten pasukan, M. Ramayah, untuk menilai kemampuan 12 pemain yang telah dipilih.

"Kami memerlukan orang berpengalaman. Itu sebabnya saya memilih Ramayah (sebagai kapten) kerana dia mempunyai pengalaman yang begitu luas di pentas antarabangsa.

"Mungkin dia boleh memberi latihan dalam aspek minda, sikap dan disiplin pemain," kata Presiden PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Kunci utama yang akan ditekankan oleh Ramayah adalah untuk menerapkan bentuk keserasian di antara tujuh pemain edisi lalu yang dikekalkan bersama lima pemain baru tatkala mereka masih belum pasti adakah IGT bakal membawa skuad sama atau sebaliknya.

"Kami akan melihat apa yang mereka lakukan di lapangan dan kami akan tentukan apa yang kami akan lakukan nanti.

"Saya akan memberikan idea ketika pemain mahu menentukan jenis pukulan di lapangan," kata Ramayah.